Page 76 - DEWAN SASTERA DISEMBER 2020
P. 76

SELAYANG Pandang

dengan estetika majaz bahasanya yang tersendiri
dan menyentuh hati. Atas kebitaraanya itu, beliau
yang juga menggunakan nama pena seperti Jiwa
Merana dan Indera, telah dianugerahi dengan
pelbagai hadiah sepanjang hayatnya, termasuk
Hadiah Sastera Malaysia, Anugerah Penulis
Malaysia, Tokoh Penyair Terengganu, Anugerah
Khas Kelab Wartawan dan Anugerah Budaya Negeri
Terengganu. Sehingga kini, diksi-diksi melankolik
karyanya masih terus segar menjadi basahan lidah
para peminat puisi dan sastera tanah air.

     Sudut Tokoh Sastera ini juga turut memaparkan
biografi penulis mapan Terengganu yang lain,
seperti penyair T. Alias Taib yang terkenal dengan
karya kreatif berbentuk cerpen, puisi, pantun dan
renungan, biodata penulis Ismail Haji Salleh atau
Ismail al-Falah, dan Tuan Sharif Tuan Putera atau
Sharif Putera.

     Beberapa dokumen dan naskhah cuplikan
penulis-penulis tersebut juga boleh didapati di
galeri ini. Antaranya, buku ilmiah, novel, antologi
serta kumpulan puisi seperti Seberkas Kunci T. Alias
Taib, Diari Bangsa Sharif Putera, Derita Seorang
Seniman J.M. Aziz, dan Mendekati Kesusasteraan
Melayu Prof. Dr. Hashim Awang.

     Perjuangan dan sumbangan karya susastera
negeri Terengganu terus diberi pengiktirafan dan
dilestarikan agar tidak lekang dek panas, tidak
lapuk dek hujan. Bahan-bahan yang nadir dan
tergred hasil buah fikir dan kreativiti para penukil
harus terus dipelihara dan diberi kedudukan yang
sewajarnya.

     Menyusul generasi awal ini, lahirlah ramai bakat
baharu dalam kalangan anak Terengganu. Akan
tercatat pula nanti nama-nama seperti Abd. Mubin
Ismail, Husna Nazri, Hilmi Rindu, Marzuki Ali, S.M
Noor, Wan Ahmad Ismail dan ramai lagi dengan
karya yang lebih segar untuk diabadikan di persada
muzium. Semoga usaha murni ini akan menjadi
warisan sejarah buat generasi mendatang.

74 DewanSastera • Bil. 12 2020
   71   72   73   74   75   76   77   78   79   80   81