Page 3 - dsastera5
P. 3
PUISI KHAS
Oleh Siti Zainon Ismail (Sasterawan Negara)
WARIS MELAYU CHAMPA
Kita sewaris di bumi di bawah langit yang sama
sejak kitab menamakan makhluk hamba-Nya
berjejak di tanah bersinar matahari pagi
berganti malam yang sama sinar bulannya
bertaburan bintang seantara berkilauan di jiwa.
Kami saling bertatapan
kulit sawo manis
menjeling bagai bertanya
bahasa apa untuk dituturkan?
Assalamualaikum ....
masya-Allah cepat tangan terhulur
merekah bibir cerah mata berkilauan
oh, mu Melayu?
Melayu Sie, Chom?
Kerudung hijau berenik cempaka
semerbak harumnya
hati kamilah yang bercempaka wangi
segera hidangan tiba
tapi bibirnya lebih bersuara
jelas bahasanya,
saya baru pulang ke sini
ibu dara sempat menyusup sungai
meninggalkan Kompong Chom
menyeberang Mekong terdampar di Pangkalan Chepa
kenalkan saya Champa Sari
baru pulang ke sini!
Melayu itu luas tanahnya
suara kami serentak senada
...
ayah pahlawan menyamar lelaki Vietkong
menyelusup waris kampung berenang dan lari keluar
hingga terakhir sendirian timbul tenggelam di Sungai Menam
ditawan tentera Amerika terbekam di penjara Siam
diselamatkan ABIM
dihantar ke Mekah pulang menjadi ustaz
sekarang Imam di Kampung Gajah.
Masya-Allah jauhnya perjalanan
Champa Sari pulang berbakti.
SITI ZAINON ISMAIL
Ho Chi Minh 2018
1 | Dewan Sastera Bil. 5 2020

