Page 2 - Dewan Sastera Januari 2020
P. 2
KARYAWAN BULAN INI Rejab bin Ismail atau Rejab F.I. dilahirkan pada 12
September 1941, di Kampung Bongkok, Padang
Dewan Sastera Bil. 1 2020 Lati, Perlis. Beliau mendapat pendidikan
awal di Sekolah Melayu Santan, Sekolah Melayu
Paya dan Sekolah Melayu Kangar (Lelaki). Beliau
kemudiannya mengambil inisiatif belajar secara
persendirian sehingga lulus Sijil Rendah Pelajaran
(SRP), Sijil Pelajaran Persekutuan (SPP) dan Sijil Tinggi
Pelajaran Malaysia (STPM). Kemudian, melanjutkan
pengajian ke Universiti Sains Malaysia (USM) dan
mendapat Ijazah Sarjana Muda Kesusasteraan.
Memulakan kerjaya sebagai guru pada tahun 1956
sehingga tahun 1991. Beliau pernah dilantik sebagai
Guru Besar sekolah rendah, Guru Penolong Kanan
sekolah menengah dan kemudiannya mengambil
keputusan bersara pilihan pada usia 50 tahun. Kini,
beliau menjadi editor penerbitan syarikat swasta dan
penulis sepenuh masa.
Rejab mula menulis pada tahun 1960. Novel
pertama beliau berjudul Di Mana Ada Kemahuan,
merupakan ilham ketika beliau berniaga telur ayam
di kampungnya. Beliau berjaya memenangi beberapa
anugerah termasuklah Hadiah Sastera Nasional (1971
dan 1972), Hadiah Sastera Esso-GAPENA (1985) dan
Hadiah Sastera Utusan-Public Bank (1994, 1995, 1996,
1997 dan 1999). Malah, beberapa buah karya beliau
terpilih sebagai teks Komponen Sastera (Komsas)
dan teks Kesusasteraan Melayu. Terbaharu, novel
Sejambak Bakti dipilih sebagai teks Komsas untuk
Tingkatan Satu bagi pelajar di Sabah, Sarawak,
Wilayah Persekutuan Labuan dan Johor. Beberapa
buah puisi dan cerpen beliau juga diterjemahkan
ke dalam bahasa lain seperti Rusia, Mandarin dan
Inggeris.
Rejab berjaya menghasilkan 135 judul buku.
Buku-buku yang dihasilkan itu termasuklah 45 buah
novel (kanak-kanak, remaja dan dewasa), 23 antologi
cerpen (termasuk kumpulan cerpen) dan empat buah
kumpulan puisi, di samping judul-judul yang lain.
Beliau turut menghasilkan 15 skrip drama televisyen,
20 skrip drama radio dan empat skrip drama pentas,
di samping sejumlah lebih 200 buah cerpen dan lebih
400 buah puisinya tersiar dalam pelbagai penerbitan
tanah air.
Rejab F.I.