Page 10 - Dewan Sastera 3 2020
P. 10

FOKUS

        MENELUSURI
       IRAMA SYAIR
     DI NUSANTARA

                                      Oleh: Roslan Madun (Maestro Syair*)
                                       Gambar: Noor Kasmara Sokarnor @

                                                                   Fotolawa.com

                              Setanggi Antarabangsa (festival syair, teater dan
                                        seni tradisi) yang diadakan di Kuantan, Pahang
                                        baru-baru ini merupakan kemuncak kepada
                                        kembara syair saya sejak hampir 20 tahun lalu.
                              Meskipun sebelum Setanggi Antarabangsa saya pernah
                              menganjurkan festival syair sebanyak empat kali, iaitu
                              dua kali di Kuala Lumpur pada tahun 2016 dan 2017 dan
                              dua kali di Indonesia pada tahun 2017 di Kota Medan
                              dan tahun 2018 di Kota Tanjungpinang, emosinya sangat
                              berbeza dengan festival kali ini.

                                      Hal ini kerana Setanggi Antarabangsa bermula
                              dengan kosong ringgit hinggalah terkumpul dana
                              hampir RM100 ribu, semuanya kerana kerja keras dan
                              semangat yang tinggi ingin melestarikan syair Melayu.
                              Bukan mudah untuk meyakinkan pihak yang menyokong
                              penganjuran festival ini. Namun begitu, Dewan Bahasa
                              dan Pustaka (DBP) serta Jabatan Kebudayaan dan
                              Kesenian Negara (JKKN) telah dapat menghidu akan
                              kesungguhan itu.

                                      Kesediaan Kerajaan Negeri Pahang meluluskan
                              dana sebanyak RM50 ribu adalah klimaks kepada
                              kejayaan merealisasikan festival besar yang bersejarah
                              ini. Kerana sokongan itulah, Setanggi Antarabangsa ini
                              menjadi terlalu sentimental kepada saya secara peribadi.
                              Kerja kuat selama beberapa tahun menyelidik dan
                              mengumpul irama syair di Nusantara terasa berbaloi.

                                      Sebenarnya pencarian irama syair bermula sekitar
                              tahun 2005 dalam kalangan responden dalam negeri,
                              dibantu oleh Zarina Saamah dan Amir Atan. Saya
                              memperoleh dua irama syair di Sungai Karang Darat
                              Kuantan, dua di Melaka dan satu di Batu Pahat. Album
                              pertama saya yang memuatkan Irama Sarawak yang
                              saya pelajari daripada Rogayah Hamid, Irama Batu
                              Belah dan Irama Dandan Setia daripada Md Ali Bachik

Dewan Sastera Bil. 3 2020  8
   5   6   7   8   9   10   11   12   13   14   15