Page 86 - Dewan Sastera 3 2020
P. 86
CERPEN
al Tabriz. Bersahabat Rumi dengan Shalahudin Zarkub.
Bersahabat Rumi dengan Hasamuddin, yang membawa
Mathnawi dengan himpunan lagu cinta. Tuhan, saya seperti
memasuki banyak jalan di langit. Jalan-jalan yang membawa
saya ke banyak pintu makna.
Gali sumur dari pulau ini
jadikan lebih banyak perigi agar samudera berlari masuk
dan memenuhi.
Cungkil lagi agar terserap segalanya sebagai segara.
Agar nanti ia dapat menjadi minuman jiwa.
Sekian masa saya mencari sahabat seperti Shams
al Tabriz, Shalahudin Zarkub dan Hasamuddin. Namun
begitu, saya akhirnya bertemu sahabat dalam kehilangan.
Saya pernah merasakan saya ini tidak jauh seperti Rumi
yang kemudian kehilangan Shams al Tabriz. Kehilangan
Shalahudin Zarkub. Kehilangan Hasamuddin. Sakitnya
tidak terperi seperti sebelumnya apabila Shams al Tabriz
pergi dalam rahsia, apalagi perginya bersama-sama kekasih
hati Rumi, si Alauddin Syalbi. Subhanallah. Begitu banyak
wilayah kelenyapan yang didepani Rumi. Didepani saya
juga.
Petikan baglama, gemanya menyertai tiupan ney
Buraq. Seperti ney, Mathnawi turut dengan enam babak.
Saya terus mencari dan mencari semua yang hilang. Di
ruang persembahan Sama’ saya temukan lantunan cinta
yang masih meratap kehilangan. Mungkin antara jeda
kelenyapan dengan bujukan tersebut, begini baris bunyinya,
Aku memilih mencintaimu dalam diam, kerana
dalam diam aku tidak mendapatkan penolakan.
Aku memilih mencintaimu dalam sepi, kerana
dalam sepi tidak ada yang memilikimu selain aku.
Aku memilih mengagumimu dari jauh, kerana jarak
akan melindungiku daripada luka.
Aku memilih menciummu dalam angin, kerana
angin lebih lembut ketimbang bibirku.
Aku memilih memelukmu dalam mimpi, kerana
dalam mimpi kau tidak akan pernah berakhir.
Mata saya masih mengakrabi ney di tangan Buraq.
Kali ini saya datang lagi ke Konya. Saya ternyata merindui
Rumi! Benar, saya terbang sejauh ini atas nama rindu dan
cinta. Menghimpun tala dan talun ney dari setiap nafas
hangat Buraq. Bibir dengan kumis dan jambang yang
meliar, saya menyedari di jari manis Buraq ada cincin putih
yang melingkar. Cincin yang tidak saya lihat kali pertama
kami berjumpa di mulut gua persembahan Sama’. Sekali lagi
puisi Rumi dari ruang yang sama menggetar,
Marilah, marilah, tidak peduli siapa dirimu
tidak mengapa jika sudah sekian kali kau cuba, kembali
tidak mengapa jika sudah sekian kali kau jatuh, lagi
hilangkan kedukaanmu
bangun dan tumbuhlah
marilah, marilah
sekali lagi.
Seribu pohon sukma dan satu jalan menuju Rumi.
Ya, seribu pohon sukma, membawa saya ke satu jalan cinta.
Dewan Sastera Bil. 3 2020 84

